Raudhah : Kerinduan Menjelang Rajab Bulan Umrah - Cinta Ummah Marketing

Raudhah : Kerinduan Menjelang Rajab Bulan Umrah

Tuesday, February 24, 2015



Di antara perkongsian kali ini ialah mengenai apakah kelebihan raudhah serta tips khusus untuk wanita bagaimanakah cara untuk mendapat tempat bersolat di dalam raudhah ...



Raudhah : Kerinduan Menjelang Rajab Bulan Umrah


Berada di dalam bulan Rajab , bermakna kita sudahpun begitu hampir dengan Ramadhan bulan seribu rahmat.
Ya Allah , berkatilah bulan Rajab dan Syaaban buat kami dan berikanlah kami sempat berada di bulan Ramadhan akan menjadi
doa yang paling kerap meniti di bibir kita.

Bermula bulan inilah , para jemaah dari seluruh pelusuk dunia akan berpusu-pusu bertandang ke Madinah samada sebelum atau selepas menunaikan umrah di Makkah .
Di mana kemuncak perkumpulan ini pula iaitu pada bulan Ramadhan , dan dianggarkan mereka yang berada di Makkah pada bulan Ramadhan tidak kalah jumlahnya
bahkan melebihi jumlah mereka yang berada di Makkah sewaktu musim haji.

Bolehlah dibayangkan , betapa sesaknya suasana lautan jutaan manusia waktu itu ?

Bayangkan juga sejumlah manusia yang sebegitu ramai , bersesak-sesak hanya semata-mata untuk masuk bersolat dan berdoa dalam sebuah kawasan
yang luasnya hanya 144 meter persegi ( 22 meter panjang X 15 meter lebar) sahaja ?

Wau ! Benarkah ada tempat yang begitu menjadi tumpuan ?

Ya ! Tempat itulah RAUDHAH !! Sebuah tempat yang tidak putus-putus dikunjungi manusia siang dan malam !


RAUDHAH : KEDUDUKAN RAUDHAH


Raudhah yang dikatakan berada di antara minbar nabi dan rumahnya itu , hari ini begitu mudah dikenali.
Kawasan yang termasuk dalam raudhah ini diletakkan di atasnya karpet berwarna hijau.
Andai sahaja kita ingin berada di dalam kawasan raudhah , pastikan kita berada di dalam kawasan karpet
berwarna hijau dan BUKAN kawasan karpet berwarna merah.

Gambar 3D Raudhah 


Ulama menyimpulkan bahawa solat dan berdoa di dalam kawasan raudhah adalah lebih afdhal berbanding melakukannya
di luar kawasan tersebut.

Raudhah Ditandakan dengan Karpet Hijau Dan Dilingkungi Tiang-Tiang Berwarna Putih



Sebelum kita pergi kepada soalan bagaimanakah tips atau petua untuk dapat bersolat di dalam
raudhah ? , eloklah kita kenal terlebih dahulu apakah itu makna Raudhah ?


RAUDHAH : MAKNA RAUDHAH


Raudhah ialah perkataan bahasa arab bermaksud taman.

Baginda s.a.w. bersabda : "Diantara rumahku dan minbarku ialah sebuah taman dari taman-taman syurga."

Seperti kita fahami ,taman merupakan suatu tempat yang dikaitkan dengan keindahan dan ketenangan ,
mengunjungi taman bermakna mencari ketenangan dan keindahan.

Sedang yang paling indah dalam kehidupan kita pula pastilah diri baginda s.a.w.

Para sahabat nabi s.a.w. begitu asyik dalam menghayati keindahan baginda samada jasadiyyah atau rohaniyyah,
sehingga ada sebahagian yang sanggup menunggu di luar rumah baginda s.a.w. semata-mata untuk menatap wajah baginda s.a.w.
Mereka hanya akan pulang ke rumah setelah dapat menatap wajah baginda s.a.w. . Datang mereka dengan penuh keresahan jiwa laksana banduan terpenjara
sekian lama , namun pulang dalam keadaan bahagia seolah-olah mereka baru sahaja pulang dari sebuah tempat yang amat memukau sukma,
yang diandaikan sebagai syurga dunia.


RAUDHAH : TAMAN SYURGA


Samada taman syurga itu ditafsirkan secara zahiriyyah ( mengambil makna zahir) , atau secara maknawiyyah(makna tersirat),
keduanya menjurus ke arah betapa besar manfaat yang terhasil dari kunjungan terhadap kawasan paling menjadi rebutan jemaah saban hari saban malam itu.

MANFAAT MAKNAWIYYAH


Jika peritnya kerinduan terhadap seseorang kekasih itu terubat dengan bertandang ke rumah kekasih,
maka kerinduan terhadap kekasih umat seluruh alam ini juga akan terubat bahkan bertambah subur dengan keberadaan hampir dengan makamnya ,
peluang duduk-duduk dan berjalan-jalan di atas tempat yang pernah dipijak oleh baginda s.a.w. dan para sahabat baginda s.a.w.

Satu kesempatan paling berharga buat para pencinta.

Makna lain pula, bolehlah dikatakan bahawa rumah baginda s.a.w. ialah tempat membina keluarga yang harmoni lagi
penuh kasih cinta.
Sedang minbar baginda .s.a.w pula ialah tempat baginda s.a.w. mengajak ummah keluar dari kesesatan dan kesyirikan untuk masuk ke dalam daerah
keimanan dan ketaqwaan.
Dengan gabungan unsur pembangunan keluarga yang mantap serta pengurusan negara bertunjang iman , pastilah yang lahir dari
keduanya adalah keamanan , kedamaian , ketenangan serta kemakmuran yang diibaratkan seperti sebuah taman syurgawi .


MANFAAT ZAHIRIYYAH


Jika diambil kefahaman makna taman syurga itu secara zahiriyyah , atau secara lafziyyah , maka pastilah kelebihannya tiada terhitung banyaknya .
Berada dalam taman syurga , bermakna berada di dalam syurga!

Hadith nabi s.a.w. ada mengisyaratkan bahawa , sesiapa sahaja yang telah masuk ke dalam syurga ( di akhirat kelak ), nescaya ia tidak akan keluar lagi
darinya buat selama-lamanya.

Alangkah bahagianya kita,  jika dengan berada di dalam raudhah , kita sudahpun dikira oleh Allah sebagai seorang yang telah masuk ke dalam syurga Allah ,yang kita
tidak akan keluar lagi darinya sampai bila-bila.

Alangkah syahdu dan kerdil terasa , dengan amalan yang amat sedikit serta dosa yang membukit , kita layak mendapat kemuliaan sebegitu besar dari Allah ?

Oh alangkah malunya dengan Allah , dengan berebut-rebut masuk untuk solat dan berdoa di dalam Raudhah , kita anggap diri kita layak berada di dalam syurga ?


Namun , tidaklah melampau bahkan dituntut kita ini berharap sepenuhnya kepada Allah agar terpilih memasuki syurga Allah.
Sekalipun kita ini penuh dosa noda , jika kita fokus untuk berubah serta memperbanyakkan doa kepada Allah, tidaklah pula mustahil
untuk kita digolongkan di dalam kelompok ahli syurga.

*TIPS Mudah Masuk Ke Raudhah Bagi Wanita :

Wanita disyorkan memakai pakaian hitam serta bertudung hitam , lebih elok jika berfurdah hitam( memakai pakaian orang iran atau pakaian non asian ,anda akan dianggap sebagai sebahagian dari mereka yang bukan asia).


Ini kerana orang asia sering dikenali dengan pakaian putih , lalu seringkali pula terdedah kepada diskriminasi oleh bangsa yang lebih gagah sehingga ada yang ditolak dan dihalau sewenangnya sewaktu orang ramai bersesak-sesak masuk ke raudhah.

Justeru dengan memakai pakaian hitam akan lebih membantu sewaktu proses bersesak-sesak masuk ke dalam Raudhah.

Namun ini bukanlah suatu kemestian, ia cuma kelaziman.

Semuanya bergantung atas niat , doa serta tawakkal kita kepad Allah jua.


RAUDHAH : KESIMPULAN


Begitulah serba sedikit perkaitan Raudhah taman syurga dengan kelebihan berada di dalam raudhah adalah seperti berada di dalam syurga.

Orang yang datang mungkin risau , bagaimana kalau saya datang ke Masjid Nabawi , tapi gagal masuk ke dalam Raudhah , adakah ia bermakna saya akan gagal masuk syurga ?
Jika demikian , perlukah saya merempuh jemaah lain demi melayakkan saya masuk ke taman syurga ?

Jawapannya pastilah tidak. kalau kita renungkan kisah seorang lelaki yang tidak jadi pergi haji semata-mata mengutamakan memberi
makan jirannya yang miskin pun diberi ganjaran pahala haji , mengapa pula kita tidak akan mendapat ganjaran sama
jika kita mengutamakan untuk tidak menyakiti saudara kita yang ingin masuk ke raudhah ?


Renungkan Firman Allah :
"Mereka mengutamakan saudara mereka melebihi diri mereka sendiri..........barangsiapa terlepas dari sifat tamak dalam dirinya
merekalah orang-orang yang berjaya ." Al-Hasyr


_____________________________________________________________________________

P/s: Bagi memantapkan persediaan sebelum ke Tanah Suci , Permainan Papan Pintar Haji mungkin dapat membantu Anda

 Pihak cinta ummah marketing ada menyediakan servis jualan Papan Pintar Haji dan penghantaran terus ke rumah anda.

Hanya RM 135 beserta bayaran poslaju.

Berminat ?

Hubungi 019 647 0390 Hari Ini Juga !


TAGS : Artikel, Blog, maksud raudhah, Papan Pintar Haji, raudhah, raudhah city, raudhah masjid nabawi, raudhah nabawi, 










Anda Mungkin Juga Meminati

0 comments

Mencari Sesuatu ?

Langgan Email Kami

Artikel Terkini

Contact Form

Name

Email *

Message *

Ikuti Kami Di Facebook

Powered by Blogger.